SUSPEK kes dera dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang buruh direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai didera hingga cedera pada bahagian kepala, mata dan beberapa anggota badan.

Lelaki berusia 31 tahun itu yang juga bapa saudara mangsa disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Suspek ditahan bersama isterinya kelmarin, berhubung kes berkenaan dibawa ke mahkamah jam 10 pagi sebelum Majistret Haslinda A Raof membenarkan tahanan reman sehingga esok bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Harian Metro semalam, melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes dera kanak-kanak lelaki Sabtu lalu yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Bukit Merah, di sini dan mangsa disyaki didera antara tempoh 3 hingga 28 Februari lalu ketika berada dalam jagaan ibu dan bapa saudaranya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa dijaga saudaranya yang menetap di Flat lmpiana Adril, Bukit Merah dan kes penderaan berkenaan terbongkar selepas bapa mangsa melawat kanak-kanak malang terbabit.

Menurutnya, jam 3 petang, Sabtu lalu, bapa mangsa berusia 37 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori datang ke rumah saudaranya itu untuk melihat keadaan anaknya, namun terkejut mendapati mangsa lebam di muka serta badan dan mangsa mendakwa dipukul saudaranya menggunakan wayar dan tangan.

Susulan kejadian itu, polis bertindak menahan dua suspek membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili suspek berkata, hanya lelaki berkenaan saja direman manakala isterinya diambil keterangan sebelum dibebaskan kerana mempunyai anak kecil yang perlu dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:37 AM