Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri 18 kartun Mister Potato, tahun lalu.

Pengakuan bersalah Mohd Zulkarnain Abdullah, 36, dari Merlimau itu dibuat di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemandu lori di syarikat tempatnya mencuri didakwa mencuri 18 kartun Mister Potato jenama Mamee bernilai RM1,500 di sebuah kilang SCH Logistic di kawasan Perindustrian Cheng pada jam 7 pagi, pada 21 Oktober tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga kakitangan syarikat terbabit diberitahu oleh kakitangan lain bahawa stok jenama Mamee diambil oleh tertuduh dengan menggunakan sebuah van.

Justeru, pengadu menghubungi tertuduh agar memulangkan 18 kartun Mister Potato yang dicuri tertuduh lalu mengadakan pertemuan di satu lokasi.

Hasil pertemuan itu, tertuduh dibawa oleh pengadu ke kilang terbabit untuk bertemu majikan sebelum tertuduh menyatakan kepada majikannya yang dia tidak dapat memulang dan membayar semula barangan yang dicuri.

Justeru, pengadu kemudian menghubungi polis sebelum tertuduh ditangkap sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:28 AM