Putrajaya: Operasi menggunakan dron atau pesawat kawalan jauh (UAV) di kawasan lapangan terbang adalah suatu kesalahan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang serius operasi dron bagi tujuan komersial atau rekreasi di kawasan berkenaan.

“Dron atau UAV yang mencerobohi kawasan lapangan terbang boleh mengganggu dan membahayakan keselamatan operasi penerbangan.

“Justeru, orang awam diingatkan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum menjalankan sebarang aktiviti membabitkan dron atau UAV,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Baru-baru ini, seorang lelaki memuat naik gambar pesawat mahu mendarat dipercayai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada akaun Instagram miliknya.

Pemilik akaun terbabit menangkap gambar pesawat itu menggunakan dron atau UAV diterbangkan ke kawasan lapangan terbang itu yang dikawal dengan alat kawalan jauh.

Gambar berkenaan menjadi ‘viral’, sekali gus menimbulkan pelbagai maklum balas daripada pengguna laman sosial.

Malah, ada dalam kalangan mereka terutama peminat dron marah dengan tindakan lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:37 AM