SUSPEK yang ditangkap berkaitan kumpulan IS.
Oleh Amir Abd Hamid dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah berusia 29 tahun dikesan giat menghasut serta memujuk seorang gadis tempatan menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Wanita berusia 29 tahun itu antara tiga rakyat tempatan disyaki terbabit dalam kumpulan IS yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi berasingan di tiga negeri, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek itu ditahan dalam serbuan di sekitar Johor, Perak dan Kuala Lumpur antara 28 Februari sehingga kelmarin.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 22 dan 39 tahun itu masing-masing memainkan peranan merekrut, menyalur dana dan juga anggota kanan kumpulan militan itu.

“Suspek pertama adalah seorang suri rumah berasal dari Johor. Dia disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas IS.

“Suspek juga bertanggungjawab menghasut seorang gadis tempatan menyertai IS di Syria,” katanya.

Menurutnya, suspek kedua ditahan adalah seorang lelaki berusia 22 tahun dan bekerja sebagai peniaga berasal dari Perak.

“Suspek disyaki memainkan peranan menyumbangkan dana kepada rakyat Malaysia yang mahu menyertai kumpulan IS di Syria.

“Suspek ketiga adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai seorang kakitangan sebuah jabatan kerajaan. Suspek yang turut berasal dari Perak, disyaki terbabit membantu mendaftarkan akaun Facebook (FB) bagi kegunaan beberapa rakyat Malaysia yang mahu menyertai IS,” katanya, semalam.

Siasatan mendapati suspek ketiga itu adalah anggota kanan kumpulan pengganas IS di Syria dan suspek merancangmenyertai kumpulan pengganas IS di negara bergolak itu dalam masa terdekat.

Khalid berkata, semua suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut bab VIA-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:30 AM