ANTARA kenderaan yang berjaya ditemui semula. Gambar kecil, barangan yang dirampas daripada suspek.
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Sekumpulan lima pencuri kereta profesional dikesan gemar menginap di hotel lima bintang sekitar ibu kota setiap kali berjaya melarikan kenderaan.

Suspek berusia 20-an bagaimanapun berjaya diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika sedang bersembunyi di sebuah hotel di Jalan Pahang Barat di sini awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, sepasukan polis berjaya menjejaki kumpulan suspek selepas penjenayah turut terbabit dengan kejadian samun di Batu 9, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis berjaya menahan empat suspek yang menginap di dua bilik berasingan di hotel mewah berkenaan.

“Hasil soal siasat terhadap salah seorang suspek membawa kepada penemuan sebuah kenderaan model Toyota Innova dicuri,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dan semakan lanjut mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang di Cheras sebelum ini.

“Pada hari sama jam 2 pagi, seorang lagi suspek ditahan di hadapan hotel berkenaan dan polis berjaya merampas sebuah motosikal dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras.

“Hasil soal siasat, lelaki berusia 20-an berkenaan turut mengaku terbabit dalam beberapa kes samun di kedai serbaneka 24 jam sekitar Kajang dan Serdang,” katanya.

Ab Rashid berkata, maklumat diperoleh daripada suspek membawa kepada penemuan dua kenderaan termasuk Nissan Navara dan BMW X3 ditinggalkan di tepi jalan berhampiran kawasan Batu 9 di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:26 AM