KETUA Sektor Pengurusan Akademik Fouziah Buang (kiri) menyampaikan sijil pelajar cemerlang SPM kepada Cheryl di Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2014 di Jabatan Pendidikan Selangor.

Shah Alam: Sukar bertutur dan menulis. Itu cabaran dialami seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang semalam.

Cheryl Tan Mei Nee, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, Ampang itu disahkan menghidap penyakit lumpuh seminggu sebelum menduduki SPM dan dikategorikan sebagai calon berkeperluan khas.

Dia yang mendapat keputusan empat A+, lima A dan satu A- berkata, dia mengalami penyakit radang tulang belakang atau Multiple Sclerosis sejak di tingkatan tiga.

“Ketika berusia 15 tahun saya mengalami penyakit berkenaan dan terlantar di rumah selama enam bulan. Walaupun keadaan kesihatan semakin pulih, namun sekali lagi saya diduga seminggu sebelum peperiksaan menjelang apabila disahkan menghidap penyakit lumpuh yang menyebabkan saya tidak boleh bercakap dan mengawal tangan.

“Ketika itu saya tertekan memikirkan penyakit dialami kerana tidak mampu bertutur dan menulis, malah ketika mengambil peperiksaan saya terpaksa menggunakan komputer sambil dibantu pegawai peperiksaan,” katanya ditemui sejurus pengumuman keputusan SPM di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, semalam.

Bapa Cheryl, Tan Ling Siang, 60, menganggap anaknya itu seorang yang kuat semangat kerana keinginannya yang masih tidak putus asa menelaah pelajaran walaupun dalam keadaan kesihatan kurang baik.

Sementara itu, K Santhiya yang mendapat keputusan 11A+ berkata, keputusan itu adalah hadiah istimewa kepada ibu bapanya yang banyak berkorban dalam memastikan dia mendapat pelajaran sempurna.

“Walaupun bapa hanya bekerja sebagai operator kilang, namun dia sentiasa memastikan saya serta adik beradik lain mendapat pendidikan sempurna untuk mengubah nasib kami sekeluarga.

“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ayah sepertinya kerana sanggup bekerja 12 hingga 16 jam sehari semata-mata mahu mencari wang untuk kami sekeluarga,” kata pelajar SMK Engku Husain Semenyih, Kajang itu.

Bapanya, M Kunasegaran, 53, berkata, dia dan isteri sanggup mengorbankan kehendak diri sendiri demi memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:30 AM