KESAN tembakan di cermin sisi bahagian pemandu.
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Seorang ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak bertalu-talu dua lelaki dipercayai ‘pembunuh upahan’ ketika berhenti di lampu isyarat.

Dalam kejadian jam 12.46 tengah hari semalam, mangsa, Thanabalan Muniandy, 38, diserang ketika memberhentikan kereta Honda Accord dipandu berhampiran lampu isyarat merah di Jalan Reko, di sini.

Sumber berkata, dua lelaki menunggang motosikal model Yamaha LC dikatakan berhenti di sebelah kereta mangsa sebelum mengeluarkan pistol.

Menurutnya, seorang suspek kemudian melepaskan enam das tembakan ke arah cermin sisi kereta mangsa.

“Tembakan bertalu-talu itu menembusi cermin sisi sebelah pemandu dan mengenai mangsa. Suspek kemudian terus memecut melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian segera menghubungi polis. Mangsa yang berlumuran darah akibat ditembak di kepala dan tubuh bagaimanapun, masih bernyawa,” katanya.

Susulan itu mangsa segera dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

“Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan untuk mengenal pasti dua penyerang terbabit.

“Sehingga kini, saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal digunakan dua penjenayah itu,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan namanya didedahkan berkata, serangan itu berlaku dengan pantas dan orang ramai panik melarikan diri sejurus mendengar letupan tembakan.

“Saya tidak sangka penjenayah begitu berani melakukan serangan di lokasi terbuka dan sesak dengan kenderaan ketika itu.

“Bagaimanapun, saya tidak percaya mangsa masih hidup walaupun ditembak dari jarak kurang satu meter,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:36 AM