MAYAT mangsa lemas di lombong ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

Dungun: “Anak sulung baru saja meninggal dunia tidak sampai tiga bulan lalu akibat kencing tikus dan hari ini (semalam) saya sekali lagi menerima ujian sangat menyedihkan,” kata Noriah Wahab, 46, selepas anak keduanya daripada empat beradik ditemui lemas ketika mandi di sebuah kawasan lombong dekat Kawasan Industri Batu 7, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, Ahmad Alif Aimin Abd Wahab, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar bersama empat rakannya Che Wan Mohd Nur Ramadan Che Wan Nordin Syukri, 14; Mohd Bukhairi Aiman Nordin, 12; Mohd Hafizan Hattan, 14, dan seorang lagi dikenali Adam, 14, mandi di situ, pada jam 11.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa bersama Mohd Bukhairi dan Mohd Hafizan mandi di lombong terbabit manakala dua lagi rakan memerhati dari atas tebing.

Mangsa tiba-tiba lemas dan meminta bantuan dua rakan, bagaimanapun kedua-dua rakan yang berada tidak jauh daripadanya tidak berani menyelamatkan mangsa kerana bimbang turut lemas.

Dua rakan mangsa mengambil ranting pokok menghulurkan kepada mangsa namun gagal selepas mangsa tenggelam ke dasar lombong terbabit.

Noriah berkata, arwah anaknya itu pergi ke sekolah pagi semalam dan sebaik pulang daripada membeli barangan dapur dia mendapati pakaian sekolah arwah berada di lantai di rumahnya di Kampung Gong Pasir, di sini.

“Arwah pulang awal ke rumah mungkin ada sukan di sekolah dan dia tidak memberitahu hendak ke mana sehinggalah saya dimaklumkan dia lemas di situ,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

“Belumpun reda kesedihan saya sekali lagi diuji apabila rakan arwah Ahmad Alif Aimin datang ke rumah memaklumkan anak kedua pula lemas,” katanya.

Katanya, minggu lalu dia ada bermimpi suami dan saudara suami mengadakan kenduri besar di rumahnya dengan dihadiri ribuan saudara dan penduduk kampung.

“Mengikut andaian orang tua mimpi sebegitu membawa berita buruk namun saya tidak mempercayai kerana menganggap ia cuma mimpi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bergegas ke tempat kejadian bagi melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempatnya lemas, kira-kira jam 1.40 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:50 AM