Ampang: Biarpun diseret peragut hampir satu meter, tindakan berani seorang suri rumah menarik semula beg tangannya berjaya membuatkan penjenayah terbabit terjatuh daripada motosikal sebelum suspek dicekup orang awam dalam kejadian di Taman Muda, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun baru keluar daripada klinik sebelum diragut suspek berusia 33 tahun yang menaiki Honda EX5.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang bersendirian dilapor sedang berjalan menuju ke keretanya yang diletakkan berhampiran klinik.

“Mangsa diragut seorang lelaki menyebabkan dia terjatuh. Bagaimanapun mangsa tidak melepaskan beg tangannya itu sehingga dia dilapor diseret hampir satu meter,” katanya.

Sumber berkata, suri rumah itu kemudian menarik semula beg tangannya itu menyebabkan suspek terjatuh daripada motosikalnya.

“Lelaki dilapor membuka topi keledar sebelum cuba melarikan diri. Usahanya itu bagaimanapun gagal apabila dia berjaya ditangkap orang ramai yang berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian diserahkan kepada anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala, tangan, badan dan kaki akibat terseret. Suspek juga mengalami kecederaan sama dipercayai akibat terjatuh daripada motosikalnya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:28 AM