Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Fatwa Kebangsaan memuktamadkan seorang Muslim yang mati menerusi perjuangan Militan Negara Islam (IS) tidak boleh dianggap mati syahid kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, perjuangan IS harus ditolak semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Sia-sia perjuangan mereka kerana ia tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum syarak.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-106 yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober 2014 memutuskan umat Islam Malaysia yang berjuang atas nama IS sebagai berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Abdul Shukor berkata, seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

“Selepas meneliti laporan penyelidikan yang diperakukan Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kertas kerja yang disediakan serta meneliti fakta, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah mendapati IS adalah rentetan dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq,” katanya.

Beliau berkata, ia pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan ‘pemerintahan Islam’ mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islam ortodoks dan radikal.

“Keduanya, kumpulan Mujahidin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai ‘Jamaah al-Tawhid wa al-Jihad’ di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq.

“Ketiga ialah kumpulan mujahidin al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan akibat serangan Amerika Syarikat ke atas bumi Afghan selepas peristiwa 11 September,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di seluruh dunia mengingatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan kumpulan IS ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka.

“Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi (kaum minoriti Iraq) dengan penuh kezaliman.

“Ulama di seluruh dunia melabelkan IS ini sebagai Khawarij di zaman moden dan memperingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan segala propaganda IS,” katanya.

Katanya, muzakarah juga berpendapat kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama IS di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut hukum syarak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:52 AM