Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Puteri UMNO mahu pihak dan agensi berkaitan melakukan pemantauan berterusan dan tidak hanya bermusim terutama bagi membendung ancaman dibawa fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua pihak pasti memahami ancaman IS bukan hanya ditujukan kepada umat Islam, sebaliknya ia boleh menghancurkan sesebuah negara jika tidak dibendung dari awal.

Beliau berkata, agensi berkaitan terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu menjalankan peranan utama selain bekerjasama rapat dengan semua agensi lain bagi memudahkan pemantauan.

“Kami berharap agensi berkenaan mengambil serius mengenai perkara ini. Baru-baru ini, saya bertemu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyentuh mengenai perkara berkenaan.

“Beliau (Hishammuddin) juga meminta kami sebagai penggerak orang muda supaya memainkan peranan dengan menggalakkan pemudi mendekati aktiviti berfaedah,” katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran Karnival Sukan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Taman Pancarona, Presint 18 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembabitan dan cubaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun untuk berkahwin sebelum menyertai kumpulan pengganas IS di Syria.

Remaja berasal dari Muar, Johor itu dipercayai ingin ke Syria menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berkahwin dengan pelajar Malaysia di Mesir, namun cubaannya terbantut sebelum ditahan di KLIA.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya akan membantu memantau golongan berkenaan supaya mereka tidak mudah dimanipulasi mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman IS di negara ini.

Menurutnya, seperti yang sedia maklum, pelajar dan golongan belia di negara ini adalah aset negara, namun pada masa sama, mereka juga mudah diserang dan dipengaruhi oleh fahaman luar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:19 AM