LOKASI kejadian kes tembak dan tetak di Ijok.

Kuala Selangor: Seorang peniaga warga Myanmar ditembak sebelum ditetak hingga mati sekumpulan penjenayah di rumahnya di Taman Harmoni, Ijok di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, mangsa dikenali sebagai Soe Tin, 31, maut selepas ditembak dari jarak dekat selain ditetak lebih 20 kali di seluruh tubuh.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur bersama seorang rakannya di dalam salah sebuah bilik manakala dua adiknya tidur di bilik berasingan.

Sumber polis berkata, lima lelaki bersenjatakan parang dan pistol berjaya menyusup masuk ke dalam rumah itu melalui pintu dapur.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudiannya mengejutkan dua adik perempuan mangsa berusia 18 dan 26 tahun manakala empat lagi suspek meluru masuk ke bilik mangsa.

“Suspek kemudian mengacukan parang ke leher rakan mangsa selain mengugutnya tidak melawan.

“Salah seorang suspek kemudian menembak mangsa manakala seorang penjenayah menetak badan mangsa bertubi-tubi. Semua suspek kemudian melarikan diri menggunakan pintu belakang rumah bersama telefon bimbit dua adik mangsa,” katanya.

Difahamkan mangsa mengusahakan kedai runcit di rumah berkenaan dan salah seorang adik mangsa mengenali suspek.

“Pemeriksaan lanjut anggota polis forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi kejadian menemui dua kelongsong peluru dan sebutir peluru hidup,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, semua suspek adalah lelaki Myanmar dan polis kini sedang giat memburu suspek,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:27 AM