Oleh Hilmi Isa

Ramai orang apabila ditanya mengapa berbuat begitu akan menjawab ‘kerana ramai orang yang berbuat begitu’. Seolah-olah mereka tidak tahu pun apa kesan dan matlamat akhir pilihan yang mereka lakukan dalam hidup.

Mereka tidak mahu berfikir dan mengkaji mengenai kesan buruk dan baik pilihan yang mereka lakukan.

Seorang pensyarah saya di universiti dulu memberi markah sehingga tiga titik perpuluhan, contohnya 12.318. Kalau ia adalah subjek matematik atau sains, ia masih boleh diterima, tetapi ini adalah subjek bahasa.

Seperti yang kita tahu, kebanyakan jawapannya adalah bersifat subjektif iaitu perbezaan pendapat, cara, tujuan dan kegemaran yang berbeza-beza.

Contohnya, persoalan ‘apa sebab manusia berkomunikasi’ mempunyai jawapan yang terlalu luas dan pelbagai. Tetapi markah hanya akan diberi kepada sesiapa yang mengikut ayat yang ditulis di dalam buku teks.

Tertinggal perkataan ‘yang’ sekalipun markah akan ditolak. Saya selalu tertanya-tanya apa aplikasi menghafaz perkataan demi perkataan dalam kehidupan sebenar?

Ibu bapa hari ini ramai yang lepas tangan mengenai pendidikan anak kepada pihak sekolah. Kata mereka, cukuplah guru di sekolah sudah mengajar anak mereka.

Namun, di sekolah kebanyakan mata pelajaran bertujuan untuk membentuk kepintaran bukannya keperibadian.

Bukanlah kita hendak menyalahkan sistem pendidikan negara ini kerana ia mempunyai had fungsinya. Sebaliknya ibu bapa yang culas dalam tanggungjawab mereka.

Seorang guru jelas sekali tidak mampu memberi perhatian yang optimum terhadap 40 orang murid (satu kelas), apatah lagi jika dia mempunyai sekurang-sekurangnya lima kelas.

Untuk subjek matematik, kita diajar pelbagai bab seperti algebra, persamaan linear, trigonometri dan sebagainya. Tetapi dalam kehidupan sebenar, adakah kita mengaplikasikan bab berkenaan? Tidak.

Kebanyakan kita hanya menggunakan bab asas seperti tambah, darab, tolak dan bahagi sahaja.

Hari ini ramai orang pergi belajar seawal usia hingga ke usia tua dan ia sememangnya adalah satu budaya yang bagus iaitu budaya keilmuan.

Tetapi apa yang menjadi persoalan, apakah tindakan untuk belajar itu adalah ikhlas?

Fokus perbincangan kita adalah pembelajaran formal di sekolah dan universiti. Benarkah pelajar kita belajar untuk ilmu atau gred?

Bagaimana dengan mereka di universiti, belajar untuk ilmu atau untuk gred yang akan memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan kelak?

Ada orang yang mungkin mengkritik persoalan berkenaan sebagai terlalu ideal. Kata mereka kalau belajar penat-penat dan selepas itu tidak mempunyai wang tak guna juga.

Ya, kita mengakui perkara itu dan ingin menegaskan bahawa tidak salah meletakkan pekerjaan sebagai salah satu matlamat menuntut ilmu. Apa yang menjadi isu adalah pelajar kita belajar semata-mata untuk gred dan pekerjaan.

Sepatutnya, salah satu hasil pendidikan adalah perubahan sikap daripada kurang baik kepada yang lebih baik.

Persoalannya ialah adakah itu yang terhasil daripada pendidikan hari ini? Kita bandingkan waktu sebelum 80-an dengan sekarang.

Orang pada waktu itu jarang yang berpelajaran tinggi, kalau mempunyai diploma sekalipun sudah dikira cukup gah. Zaman sekarang, bukan setakat diploma, yang mempunyai ijazah sarjana pun berlambak-lambak. Setakat ada ijazah pertama, orang pandang sebelah mata saja.

Kita bandingkan pula peribadi orang pada waktu itu dengan sekarang. Kadar perceraian pada waktu itu adalah rendah, seolah-olah kalau yang berjanji seumur hidup semati, mereka akan menepatinya.

Daripada Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu adalah fardu atas setiap orang Islam dan penuntut ilmu akan didoakan keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan.”

Penulis Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melalui Facebook Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 7:58 AM