ANGGOTA polis mengangkat mayat Anuar yang maut selepas motornya bergesel dengan basikal.

Gurun: Perasaan tidak sedap hati seorang abang bagaikan memberi petanda bakal kehilangan adik lelakinya buat selama-lamanya apabila mangsa maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan basikal di Jalan Modenas, Jeniang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa Anuar Abdul Wahab, 20, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampus di Merbok, Sungai Petani selepas menghabiskan cuti Tahun Baru Cina.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa dikatakan bergesel dengan basikal di hadapan menyebabkan lelaki berkenaan terjatuh lalu meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai mengalami kecederaan dalaman.

Abang mangsa Adnan, 33, berkata, dia bersama arwah keluar dari rumah ibu mereka di Wang Tepus, Jitra menunggang motosikal berasingan pada waktu sama jam 5 petang, tetapi singgah di Alor Setar terlebih dulu untuk menghantar anaknya ke asrama sebelum pulang ke Semeling di Sungai Petani.

Menurutnya, apabila melalui Jalan Modenas, Jeniang itu, dia melihat orang ramai berkumpul dan terlihat motosikal milik adiknya berada di bahu jalan menyebabkannya tidak sedap hati lalu terus pergi ke arah itu untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Hati saya berdebar-debar dan terkejut sebaik melihat tubuh adik berada di bahu jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta melihat dia (Anuar) diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 9:36 AM