MOHD Amar (kiri) memberi penjelasan mengenai pindaan hukum hudud yang akan dibentangkan.

Kota Bharu: Masyarakat bukan Islam tidak tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau hukum hudud apabila dilaksana di Kelantan kelak.

Itu antara pindaan yang akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bermula 16 Mac hingga 19 Mac ini, sebelum diluluskan dan dibawa ke Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu dipersetujui kerajaan negeri dan dimasukkan sebagai penambahbaikan enakmen terbabit untuk kelulusan dewan.

“Bermakna pelaksanaan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam yang melakukan kesalahan. Hukumannya mengikut kanun jenayah ini manakala orang bukan Islam tidak terbabit.

“Ini antara pindaan yang kita lakukan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993. Kandungan keseluruhan pindaan tidak boleh didedahkan kerana ia masih ‘embargo’ lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penjelasan hukum hudud kepada media Kelantan, malam kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Nik Baharom Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata, sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah atau Akta 355 dan Perkara 76A(1) perlu dilakukan serentak.

Beliau berkata, rang undang-undang persendirian juga perlu dikemukakan pada Sidang Dewan Rakyat bagi meminta laluan dan kelulusan Parlimen.

“Sokongan 112 Ahli Parlimen diperlukan bagi majoriti mudah untuk kelulusan hudud,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri berharap proses mewartakan dan kelulusan akta itu berjalan baik dan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dilaksanakan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:31 AM