SUSPEK dan motosikal yang ditahan dalam sekatan jalan raya.
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Kuantan: Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal curi ketika bersiar-siar di bandar ini membawa padah apabila dia ditahan sepasukan anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Kampung Jawa, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Kampung Jawa, di sini, ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Kuantan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum tangkapan, polis melihat lelaki terbabit menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan.

“Suspek berhenti di tepi jalan dan memberi kerjasama dengan anggota polis yang menjalankan pemeriksaan sebelum mendapati motosikal Honda Wave 125 ditungganginya dilaporkan hilang di bandar ini pada tahun lalu,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 8:14 AM