Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Tindakan pantas polis menahan suspek lelaki berusia 23 tahun di Pulau Pinang Rabu lalu dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan wanita minggu lalu berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Sebelum ini, polis berjaya menahan enam suspek iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun di Subang Jaya, Hentian Rehat Gua Tempurung Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Perak serta sebuah rumah masing-masing di Lorong Bukit Gambir dan Gelugor, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek terakhir dan dikehendaki polis itu dicekup di Gat Lebuh Macallum, Georgetown kira-kira jam 7.30 malam Rabu lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dalam operasi khas yang dijalankan.

“Dengan penahanan suspek kes boleh dikatakan selesai dan ketika ini kita sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang 13 Februari lalu, ahli perniagaan jubin berusia 59 tahun itu diculik di tepi jalan berdekatan pusat beli-belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta, namun wanita itu dibunuh sebelum mayatnya ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi di tepi pantai di Sungai Udang, Pulau Pinang sehari selepas diculik.

Berikutan itu polis menubuhkan pasukan khas Polis Bukit Aman dan Kontinjen Selangor sebelum berjaya menahan enam suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:21 AM