ANGGOTA polis membawa suspek serta barang rampasan ke Balai Polis Pusat Miri, kelmarin.

Miri: Seorang bekas banduan yang dibebaskan pada pertengahan 2013 lalu bagaikan tidak serik melakukan jenayah apabila sekali lagi diberkas polis selepas dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan dan pecah rumah di Taman Jelita, di sini, kelmarin.

Susulan penahanan suspek berusia 40-an kira-kira jam 11.30 malam itu, polis menemui semula sebuah kereta jenis BMW yang disembunyikan berhampiran ladang sawit di Kilometer 78, Jalan Miri-Bintulu, semalam, selepas dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Sumber polis berkata, ketika serbuan ke rumah suspek polis turut menemui pelbagai barang curi yang dipercayai diperoleh suspek melalui kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Corolla milik suspek dan pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan menemui menemui pelbagai peralatan pecah rumah antaranya pemutar skru, pemotong besi, pisau, kikir besi dan pelbagai nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Pelbagai hasil curi bernilai hampir RM20,000 termasuk lapan unit komputer riba, empat utas jam tangan, komputer tablet, kunci kereta serta sebuah peti televisyen berjaya dirampas.

“Siasatan tidak menolak kemungkinan lelaki itu terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah dan curi kenderaan, selain turut disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar syabu secara kecil-kecilan,” katanya.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat bersama barang rampasan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti kemungkinan ada individu lain yang bersekongkol dengan suspek melakukan jenayah itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A/457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:21 AM