Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Chempaka, Kelantan ditetapkan pada 22 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon adalah pada 10 Mac 2015.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pengundian awal akan diadakan pada 18 Mac ini dan tempoh berkempen bagi PRK berkenaan adalah selama 12 hari.

“Seramai 21,890 pemilih berdaftar akan menjalankan tanggungjawab mereka yang terdiri daripada 20,390 pengundi biasa; 1,497 pengundi awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

“Daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 12 Februari 2015,” katanya pada sidang media mengenai PRK DUN N06 Chempaka, Kelantan di Ibu Pejabat SPR di sini, semalam.

PRK itu perlu dilaksanakan berikutan kekosongan kerusi DUN Chempaka selepas kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS pada 12 Februari lalu.

Bagi menjalankan PRK berkenaan, Abdul Aziz berkata, Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dipilih sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Katanya, sebanyak 10 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian, manakala SPR akan menggunakan Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu sebagai Pusat Pengundian Awal.

“Sebanyak sembilan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang keseluruhannya akan mengandungi 42 saluran tempat mengundi.

“Pada masa sama, seramai 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya dan anggaran kos PRK kali ini adalah sebanyak RM810,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR yang bermesyuarat semalam turut bersetuju melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkenaan.

Katanya, pihaknya juga bersetuju menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa bagi setiap pasukan.

Mengulas mengenai kerusi Parlimen Permatang Pauh Abdul Aziz berkata, pihaknya perlu menunggu sehingga 24 Februari ini bagi memberi sebarang ketetapan iaitu selepas tempoh 14 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan.

“Sepanjang tempoh 14 hari itu, beliau boleh merayu kepada Yang Dipertuan Agong atau memohon untuk membuat semakan penghakiman keputusannya.

“Jika tiada rayuan dalam tempoh itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas (bagi penetapan tarikh PRK), bagaimanapun sekiranya beliau membuat rayuan, kita masih tidak pasti bila akan diadakan PRK kerana ia bergantung kepada keputusan mahkamah,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang Ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Bagaimanapun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:18 AM