Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Merancang untuk berkahwin muda sebelum berjuang bersama Militan Negara Islam (IS) di Syria.

Itu antara rancangan diatur seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan polis selepas disyaki mahu menyertai IS.

Remaja terbabit bagaimanapun ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dalam perjalanan ke Mesir petang kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, remaja ditahan itu dikenal pasti berasal dari Muar, Johor dan belajar di sebuah institusi tahfiz di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, gadis terbabit dipercayai mahu meninggalkan negara menuju ke Mesir sebelum menyusup ke Syria.

“Siasatan awal mendedahkan suspek terpengaruh menyertai militan di Syria selepas berinteraksi melalui laman sosial Facebook (FB) dengan dua individu.

“Individu terbabit berjaya mempengaruhinya menyertai kumpulan itu. Gadis itu juga merancang untuk berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir sebelum disyaki akan menyusup masuk ke Syria,” katanya.

Khalid berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang merekrut gadis Malaysia untuk menyertai kumpulan militan di Syria.

“Dia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Saya juga menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak masing-masing supaya tidak terpengaruh dengan gerakan IS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:09 AM