KAJIAN mendapati 35 peratus rokok di pasaran tempatan adalah jenis diseludup.
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peruncit tidak bertanggungjawab dan masih berdegil menjual rokok seludup terus diburu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Ops Outlet yang diperhebat bagi memastikan rantaian sindiket rokok seludup lumpuh.

Tindakan sama tidak terkecuali kepada penjaja bergerak yang menjual rokok seludup di pasar malam atau tepi jalan.

Sejak Ops Outlet secara besar-besaran dijalankan, pelbagai taktik digunakan peruncit untuk menjual rokok seludup ini walaupun hasil yang diterima tidak berbaloi dengan hukuman yang bakal dikenakan jika tertangkap.

Dalam kegiatan penjualan rokok seludup ini, penyeludup yang terdiri dalam kalangan samseng dan kongsi gelap mengaut keuntungan berlipat ganda.

Pengarah Cawangan Risikan JKDM Datuk Mariappa Ramayah berkata, satu pelancaran ops dijangka bulan depan dengan penambahan strategi baru Ops Outlet yang diberitahu kelak.

Apa yang pasti, katanya, operasi dilaksana dengan lebih giat disebabkan banyak manfaat boleh dinikmati rakyat andainya kerajaan dapat mengutip hasil cukai tidak dibayar hampir RM2 bilion setiap tahun akibat penyeludupan rokok seludup.

“Fasa pertama Ops Outlet pada 2010, kami memeriksa lebih 37,000 premis perniagaan dan merampas rokok pelbagai jenama yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM70.77 juta selain menahan 5,696 individu serta mendakwa 1,207 daripada mereka.

“Kajian dilakukan sebuah firma perunding mendapati 35 peratus rokok yang dijual di pasaran tempatan adalah rokok seludup.

“Fakta itu jelas menggambarkan betapa besarnya hasil yang hilang disebabkan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup,” katanya.

Beliau berkata, operasi Ops Outlet berterusan sejak 2010 memberikan hasil positif apabila untuk tempoh Jun hingga Ogos tahun lalu menunjukkan penurunan terbesar dalam tempoh dua dekad iaitu 32.3 peratus berbanding rekod tertinggi 38.9 peratus pada akhir 2013.

Menurutnya, ia berdasarkan dapatan firma penyelidikan Nielsen dalam Kajian Rokok Seludup (ICS), sekali gus menunjukkan penggunaan rokok seludup di negara ini dalam trend menurun iaitu 3.5 mata peratusan daripada 35.8 peratus bagi tempoh berkenaan.

Dalam tempoh 2010 sehingga Oktober tahun lalu, pihak berkuasa yang melakukan Ops Outlet dan Ops Pacak, mengadakan 39,000 pemeriksaan di seluruh negara bagi membanteras kegiatan memiliki, menjual dan mengedar rokok seludup.

Sepanjang operasi berkenaan, 8,500 premis perniagaan didapati memiliki rokok seludup, yang membabitkan tangkapan 6,000 peruncit.

Nilai keseluruhan rampasan rokok seludup dalam tempoh itu ialah RM80 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 9:51 AM