Kuala Lumpur: Penghidap penyakit Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) mempunyai peluang untuk mengurangkan penderitaan, malah mampu sembuh sepenuhnya jika mendapat rawatan awal.

Bekas Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria berkata, pesakit akan diberi rawatan melalui kombinasi ubatan serta kaunseling atau psikoterapi.

“Memang ada ubatan yang diberi sama jenis dengan yang disediakan untuk penghidap masalah mental, namun tujuannya berbeza. Bagi penghidap masalah mental, ubatan itu untuk mengurangkan kemurungan tapi bagi penderita OCD, ia bagi membantu mengurangkan kerisauan.

“Bagi psikoterapi, kami menyediakan rawatan dikenali sebagai terapi perlakuan kognitif. Ubatan serta terapi ini boleh diperoleh di hospital atau klinik dan ia diberikan oleh pakar psikiatri serta psikologi klinikal,” katanya.

Dr Hazli berkata, rawatan bagi penderita OCD juga perlu mengambil kira semua perkara seperti biologikal, psikologikal serta persekitaran sosial individu berkenaan.

“Sebahagian besar daripada mereka berdepan masalah membabitkan kerja, pengajian serta rutin harian dengan keluarga.

“Ada yang diberhentikan kerja akibat OCD, hampir dibuang daripada institusi pengajian tinggi (IPT) selain bergaduh dengan keluarga,” katanya.

Dr Hazli berkata, penderita OCD tahu mereka bermasalah namun enggan mendapatkan rawatan awal kerana bimbang dilabel sebagai pesakit mental.

“Itu kesilapan yang kerap dilakukan pesakit OCD. Mereka tidak mahu atau malu mendapat rawatan kerana taku orang kata mereka gila atau tidak mahu rekod perubatan menunjukkan mereka berdepan masalah itu kerana takut dibuang kerja,” katanya.

Menurutnya, penghidap OCD bukan individu yang ganas sebaliknya sentiasa risau atau was-was terhadap perkara seperti kebersihan serta keselamatan diri.

Beliau berkata, OCD adalah satu daripada cabang penyakit mental dan sebelum ini dikategorikan di bawah kategori kerisauan, namun kini berada di bawah kategori sendiri iaitu OCD.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:45 AM