Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dikehendaki berhubung beberapa kes jenayah termasuk tipu maut selepas terjatuh dari tingkat 21 kondominium ketika cuba mengelakkan diri daripada diberkas polis dalam kejadian di di KL Sentral, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ke rumah suspek di tingkat 21 bangunan 30 tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, pegawai polis membunyikan loceng pintu rumah suspek beberapa kali dan seorang lelaki membuka pintu.

Katanya, selepas pegawai berkenaan mengenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, lelaki itu menutup pintu.

“Beberapa minit kemudian pasukan polis mendengar jeritan seorang wanita dari dalam rumah itu dan selepas mengarahkan wanita itu untuk membuka pintu, mereka menemui lelaki itu jatuh ke tingkat bawah kondominium.

“Pemeriksaan ke atas suspek juga mendapati dia meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki berkenaan dikenali sebagai S Krishnan yang dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bersabit kes Dang Wangi dan Seksyen 403 dan 467 kanun yang sama bersabit kes USJ 8.

Beliau berkata, pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan tiada sebarang unsur jenayah yang menjadi punca kematian suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:39 AM