LORI yang remuk selepas bertembung dengan kereta mangsa.
Oleh Ibrahim Isa
Ibrahim.isa@hmetro.com.my

Muar: Empat sahabat maut apabila kereta Proton Wira dinaiki bertembung sebuah lori menyebabkan dua daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang semalam, kereta dinaiki semua mangsa terbabit dalam kemalangan sejurus cuba memotong kenderaan lain di Batu 12, Jalan Bukit Mor di sini.

Difahamkan kereta dinaiki mangsa bertembung sebuah lori satu tan yang membawa muatan makanan sejuk beku.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa, Tan Wei Oon, 18, Loh Yi Wei, 19, Tin Seng Kit, 19 dan Lee Ping Meng, 22, mati serta-merta di lokasi kejadian.

Nahas itu turut menyebabkan pemandu lori berusia 62 tahun tersepit dan terpaksa diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pemandu lori terbabit yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:33 AM