MOHAMMAD Soharto (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas.
Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


Kudat: Tiga lelaki dipercayai warga asing bertindak merempuh dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat dalam cubaan menyeludup rokok di perairan Kudat berhampiran Simpang Mengayau, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, tindakan berkenaan bukan saja berjaya dielak, malah bot dinaiki tiga lelaki berkenaan ‘menerima padah’ apabila merempuh batu karang menyebabkan mereka terpaksa terjun ke laut bagi mengelak diberkas.

Pemangku Ketua Penguat kuasa APMM Kota Kinabalu, Komander Maritim Mohamad Soharto Mat Said berkata, walaupun tindakan suspek boleh mengancam nyawa, anggota bertugas tidak gentar sebaliknya terus mengejar mereka termasuk melepaskan tembakan amaran ke udara.

“Suspek tidak mengendahkan tembakan amaran itu sebaliknya terus cuba melarikan diri menyebabkan APMM terpaksa mengejar bot pancung itu hampir 40 minit di perairan Kudat sebelum mereka terkandas selepas terlanggar batu karang di Simpang Mengayau.

“Dengan menggunakan peralatan ‘nightvision’, anggota bertugas berjaya mengesan kelibat tiga lelaki terjun ke laut dan berenang ke arah pantai sebelum menghilangkan diri, meninggalkan bot pancung mereka,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Mohamad Soharto berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot pancung itu, pihaknya menjumpai 50 kotak besar berisi 25,000 bungkus rokok jenama ‘Premium’ dianggarkan bernilai RM125,000.

“Hasil risikan mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari Pulau Mangsee, dekat sini, untuk pasaran Kota Kinabalu dan kawasan sekitar.

“Selain rokok, APMM turut merampas sebuah bot pancung dan tiga buah enjin berkapasiti 200 kuasa kuda setiap satu dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumpah RM427,000.

“Semua barang rampasan itu dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya lagi, ia adalah kejayaan pertama pihak APMM tahun ini dan antara rampasan terbesar yang berjaya dilakukan di Kudat.

“Kami melihat trend penyeludupan rokok membabitkan kawasan perairan negara semakin giat dilakukan menjelang musim perayaan.

“Justeru, operasi pengawasan di perairan negara akan sentiasa dilakukan bukan saja APMM, tetapi juga agensi penguatkuasaan lain dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan sebegini.

“APMM berharap agar orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kota Kinabalu ditalian 088-387845,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:34 AM