Muhyiddin bersama Adenan (dua dari kiri) menyaksikan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Serina Sauni (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan banjir kepada Ketua Setiausaha Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohammad.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuching: Kementerian Pendidikan akan memastikan gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) - 2015-2025 menepati nilai holistik dan berjalan mengikut matlamat ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi memastikan pelan itu lebih berkesan, kementerian mengadakan beberapa siri pendengaran awam di empat lokasi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pendengaran awam atau sesi Town Hall PPPM (PT) itu untuk berkongsi pandangan dengan masyarakat awam berhubung aspirasi kementerian untuk pendidikan tinggi.

“Pelan ini bermatlamat jelas menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkebolehan untuk memimpin dan berkomunikasi dengan baik serta memiliki nilai kerohanian dan berindentiti nasional.

“Semua aspirasi ini disambut melalui PPPM (Pengajian Tinggi) untuk menghasilkan Bakat Terpelajar Dipacu Nilai yang seimbang dan holistik disertai minda keusahawanan dan jati diri nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Institusi Pendidikan Negeri Sarawak, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.

Sejak 9 Disember lalu, Kementerian Pendidikan mengadakan Majlis Pelancaran Sesi Dialog Penyediaan PPPM (PT) di Kuala Lumpur.

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, kementerian menyusun beberapa siri pendengaran awam berhubung sesi taklimat berkenaan dasar dan dialog bersama orang awam.

Ia diadakan bagi meyakinkan orang awam berkenaan usaha dan perancangan kementerian dalam memartabatkan agenda pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, di Sarawak kerajaan sudah pun membina beberapa institusi pendidikan dan latihan teknik serta vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir menjelang 2020.

Beliau berkata, ia agenda memperkasakan kecemerlangan bakat terus diperkukuhkan dengan pelaksanaan autonomi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Menjelang 2020, permintaan terhadap tenaga kerja mahir amat tinggi, justeru langkah mengarus perdana bidang pendidikan dan latihan teknik serta vokasional giat dilaksanakan kementerian.

“Pada 2014, RM2.1 bilion diagihkan kerajaan kepada institusi awam untuk menawarkan bidang TVET berbanding RM1.8 bilion pada 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:20 AM