NAJIB berucap di majlis Perdana Ulama-Umara 2015 dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia di PICC.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Langkah kerajaan mewujudkan Indeks Syariah Malaysia dapat menjelaskan salah faham dan menangkis tanggapan segelintir rakyat yang menyatakan sistem pentadbiran negara selama ini tidak mengikuti prinsip Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Maqasid Syariah sememangnya sudah diaplikasi sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia selama ini, tetapi belum pernah diukur pada tahap sebenar.

Katanya, Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran saintifik yang menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan.

Kedua, katanya, mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan supaya rakyat dapat menerima lebih banyak manfaat hasil daripada penerapan nilai sejagat dalam Islam.

“Keunikannya indeks ini terletak pada pengukuran yang lebih menyeluruh dan bagi fasa permulaan ini, ia merangkumi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran, serta sosial.

“Bagi setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima teras dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta akan diukur,” katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara 2015 dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia, semalam.

Katanya, melalui indeks itu kerajaan akan mengukur sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah.

“Sebagai contoh, sesuatu dasar itu mungkin patuh syariah, tetapi lebih penting bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu lebih terserlah,”katanya.

Katanya, indeks ini penting kepada negara kerana ia adalah satu usaha kerajaan menambah baik sistem pentadbiran melalui Maqasid Syariah, selain sebagai pelengkap kepada cita-cita untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 10:03 AM