SUSPEK kes kelar pelajar UiTM disambung reman selama tujuh hari.

Taiping: Polis mendapatkan kebenaran Mahkamah Majistret Taiping, di sini, untuk menyambung reman selama tujuh hari bermula semalam, terhadap suspek kes kelar sehingga mati seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang, di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara - Selatan dekat Bukit Gantang, minggu lalu.

Perintah reman sehingga 16 Februari itu dikeluarkan Penolong pendaftar Mahkamah Rendah Taiping N Mageswari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai tukang masak itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Ismail Che Isa berkata, polis masih memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan secara teliti sebelum membawa kes ini ke peringkat pendakwaan.

“Masih ada lagi rakaman percakapan saksi yang belum diambil dan kita akan memeriksa bil telefon suspek bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Norsyuhada Johari, 20, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini, kira-kira jam 2 petang ketika sedang mendapatkan rawatan.

Sebelum itu, mangsa dari Cherok Mokkan, Hosba, Jitra, Kedah dikelar oleh lelaki berusia 25 tahun itu di dalam kereta jenis Proton Perdana berhampiran kilometer 228.2 Lebuhraya Utara - Selatan dekat Bukit Gantang dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:46 AM