Johor Bahru: Rahsia sebuah stor di Tanah Perkuburan Cina Kampung Jelutung, Ayer Baloi, Pontian, dekat sini terbongkar apabila serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua kelmarin, menemui 640 kotak rokok putih seludup bernilai lebih RM6,000.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 6.30 petang itu.

Katanya, serbuan itu hasil maklumat dan intipan yang dilakukan sebelum sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah 2 melakukan serbuan terhadap stor berkenaan.

“Selepas membuat pemerhatian selama sejam dan tiada pihak mengambil barangan berkenaan, anggota serbuan bertindak dan menemui beberapa kotak bertutup yang menyimpan pelbagai jenis rokok putih dipercayai tidak dijelaskan cukai.

“Rampasan dibawa balik ke Balai Polis Ayer Baloi sebelum kes dirujuk kepada PPM Wilayah 2 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikan barang larangan,” katanya.

Katanya, antara jenama rokok yang dirampas adalah Cordon, Manchester (kotak berwarna biru dan merah), Promax, John dan usaha menjejaki pihak yang bertanggungjawab sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:19 AM