Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetor.com.my

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyemak semula kadar keperluan asasi seiring dengan peningkatan taraf hidup semasa dengan melaksanakan kajian Haddul Kifayah menjelang pertengahan tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, kajian itu akan dibuat selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April ini.

Beliau berkata, kajian menyemak semula kadar bantuan perlu dilaksanakan supaya ia selaras dengan keperluan semasa dan sesuai untuk golongan sasaran.

“Kajian Haddul Kifayah ini dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dan LZS jangka ia lengkap selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“LZS juga akan mempergiatkan pelaksanaan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bagi mengenal pasti asnaf yang memerlukan bantuan di setiap daerah di negeri ini,” katanya pada sidang media Pencapaian Kutipan dan Agihan Zakat 2014, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Hussin Mohd Ali.

Pada majlis itu, Mohd Adzib turut melancarkan portal terbaru LZS iaitu www.zakatselangor.com.my bagi menggantikan www.e-zakat.com.my.

Mohd Adzib berkata, antara kemudahan diperkenalkan portal berkenaan ialah aplikasi lapor asnaf supaya orang ramai seperti pemimpin masyarakat boleh menyalurkan maklumat mengenai individu atau keluarga susah kepada LZS.

Sementara itu, Mohd Adzib turut mengumumkan LZS mengutip RM582.1 juta zakat sepanjang tahun lalu dan ia meningkat 13 peratus atau RM64.8 juta berbanding 2013.

Beliau berkata, zakat pendapatan penyumbang terbesar tahun lalu dengan jumlah kutipan RM350.1 juta atau 60.1 peratus diikuti zakat perniagaan RM108 juta.

“Agihan zakat pada tahun lalu kepada asnaf yang layak berjumlah RM595.1 juta berbanding RM463.5 juta pada 2013 dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus.

“Faktor peningkatan agihan kepada golongan berkenaan disebabkan maklumat diperoleh LZS di setiap daerah untuk membantu golongan yang memerlukan turut meningkat kerana kerjasama yang diberikan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, LZS turut mensasarkan kutipan zakat pada tahun ini sebanyak RM615 juta didorong kepada kesedaran masyarakat yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:10 AM