JENGKAUT DBKL terpaksa digunakan untuk merobohkan gerai haram.
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik gerai haram di Jalan Tasik Selatan 20, Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, di sini, bukan sahaja menyewakan gerai terbabit kepada warga asing, tetapi juga berani membuat pendawaian elektrik secara haram dan berbahaya ke atas gerai mereka.

Itu adalah beberapa keadaan yang ditemui ketika penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan Operasi Meroboh Gerai Terbiar dan Tanpa Lesen di situ semalam.

Malah, ketika operasi dilakukan beberapa warga asing bertempiaran lari meninggalkan gerai dan juga perniagaan mereka, namun 10 daripada mereka berjaya ditahan.

Penolong Ketua Operasi, Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Nasarudin Daharun berkata operasi dilakukan setelah pihaknya menerima pelbagai aduan daripada masyarakat setempat yang mendakwa beberapa gerai di kawasan itu dikendalikan warga asing sehingga menyebabkan kawasan itu kotor dan sesak dengan warga asing terutama dari Indonesia.

“Pemantauan pihak kami beberapa minggu lalu mendapati terdapat 16 gerai yang dikenal pasti diusahakan warga asing selepas menyewa daripada pemilik warga tempatan. Selain itu juga, lima daripadanya juga sudah menjadi sebuah gerai terbiar tanpa sebarang operasi,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:51 AM