Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Ipoh: Polis akan memohon perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman terhadap seorang tukang masak yang dipercayai terbabit dalam kejadian kelar sehingga mati seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Ismail Che Isa berkata, tempoh tahanan reman itu dilanjutkan berikutan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan secara terperinci.

“Polis akan mendapatkan perintah sambung reman di Mahkamah Sesyen Taiping kira-kira jam 9 pagi esok (hari ini) bagi melengkapkan siasatan sebelum pendakwaan dijalankan.

“Hasil ujian air kencing dilakukan terhadap suspek berusia 25 tahun mendapati suspek negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang mendapat perhatian meluas di seluruh negara kerana siasatan masih dijalankan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam kejadian pada 3 Februari lalu, mangsa Nur Syuhada Johari, 20, yang juga penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini kira-kira jam 2 petang ketika sedang mendapatkan rawatan akibat dikelar suspek.

Mangsa dikatakan berselisih faham dengan rakan lelakinya berusia 25 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di Melaka, sebelum lehernya dikelar dengan pisau oleh lelaki berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:44 AM