ROMBONGAN Muslim Care dan pelajar UiTM kampus Permatang Pauh bersama keluarga Allahyarham Nur Syuhada.

Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia menziarahi ibu bapa pelajar Nur Syuhada Johari, 20, yang maut akibat dikelar rakan lelakinya pada minggu lalu bagi memberi sokongan moral kepada mereka.

Muslim Care yang diwakili ahli jawatankuasanya, Safwan Ujar bersama lapan pelajar kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang menziarahi keluarga Nur Syuhada di Jitra, Kedah, semalam.

Safwan berkata, arwah adalah antara peserta misi pasca banjir anjuran Muslim Care di Pasir Tumbuh, Gua Musang, Kelantan pada 24 dan 25 Januari lalu.

“Kesempatan ini juga kami menyerahkan sedikit sumbangan kepada keluarga arwah atas jasa dan pengorbanan membantu mangsa banjir di Kelantan, bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersimpati dengan keluarga arwah terhadap kejadian yang menimpa pelajar berkenaan pada minggu lalu.

Pada 2 Februari lalu, akhbar melaporkan seorang penuntut UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dikelar oleh rakan lelakinya dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuh raya Utara Selatan di Bukit Gantang, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:43 AM