MOHD Nawi (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan beras yang dirampas dalam beberapa siri serbuan sejak awal Januari.

Tumpat: Kegiatan penyeludupan beras Siam dari negara jiran terus digempur dan sehingga kini Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sejumlah beras bernilai RM100,000 sejak awal Januari.

Terbaru, 186 kampit beras bernilai RM13,000 dirampas ketika serbuan di pangkalan haram di Pulau Tengkorak, Tumpat dan Kampung Lampu, Kuala Besut, Terengganu, masing-masing pada Rabu serta Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Mohd Nawi Yunus berkata, serbuan terbabit dilakukan PPM Tok Bali dan PPM Pengkalan Kubor.

“Kita percaya cubaan menyeludup beras ini adalah untuk pasaran Terengganu dan Kelantan.

“Dalam serbuan pertama di Pulau Tengkorak, Tumpat pada Rabu lalu, PPM Pengkalan Kubor merampas 40 kampit beras yang disembunyikan di sekitar pangkalan haram itu, namun suspek berjaya melarikan diri ke negara jiran.

“Namun dalam serbuan berikutnya pada Jumaat lalu sekitar jam 7 malam di Kampung Lampu, PPM Tok Bali menjumpai 146 beras yang disembunyikan dalam stor,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Mohd Nawi berkata, dalam serbuan kedua, tiga lelaki ditahan ketika berada di dalam stor itu untuk menyimpan stok beras.

Katanya, semua beras yang dirampas akan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan bagi mengesan aktiviti penyeludupan dan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:34 AM