MAYAT Wan Kamaruzaman yang lemas di Sungai Telok Kalong diletakkan dalam bot untuk dibawa ke hospital bagi bedah siasat.
Oleh Shamsudin Husin
am@hmetro.com.my

Chukai: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Khamis lalu, terjawab selepas mayat mangsa ditemui lemas di Sungai Bukit Kuang di sini.

Mangsa, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, 31, ditemui lemas di sungai berkenaan jam 9 pagi semalam oleh penduduk kampung.

Ibu mangsa, Fatimah Ismail, 59, berkata, mangsa kali terakhir berjumpanya di sebuah kedai di Kampung Pengkalan Cicar di sini, jam 11 pagi Khamis lalu.

“Bagaimanapun arwah tidak pulang ke rumah menyebabkan saya bimbang dan mula mencarinya di sekitar Bandar Chukai di sini, keesokan harinya (Jumaat).

“Namun saya dikejutkan dengan penemuan mayat Kamaruzaman oleh penduduk kampung di sungai berkenaan pagi semalam,” katanya.

Fatimah berkata, arwah anaknya mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya.

“Sudah hampir sebulan arwah tidak berjumpa dengan anak-anaknya berusia dua hingga tujuh tahun yang kini menetap di Kampung Gong Badak, Kuala Terengganu, sejak sebulan lalu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:26 AM