ISMAIL Sabri (dua dari kanan) bersalaman dengan peniaga Cina yang turut menyokong kempen turun harga barang.
Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: DAP tidak akan berani mencabar peniaga menurunkan harga barang sedangkan parti itu yang begitu bersemangat mengejek Barisan Nasional (BN) sebagai ‘barang naik’ ketika kempen pilihan raya lalu.

Itu sindiran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat terhadap parti pembangkang itu yang dilihat begitu beria-ia apabila membicarakan isu boikot, malah turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan.

“Bagaimanapun, ada atau tidak DAP buat laporan polis atau mengeluarkan sebarang kecaman, selain mengambil tindakan apabila ada pihak yang mempertikai raja, menghentam orang Melayu dan menghina Islam.

“Bagaimanapun, apabila ia membabitkan boikot terhadap peniaga tamak, DAP terus melenting.

“Sepanjang kempen pilihan raya lalu, DAP juga mengatakan BN sebagai barang naik namun kini, apabila harga minyak turun malah kita berusaha menurunkan harga barangan, DAP pula yang menghentam kerajaan.

“Apabila harga barangan naik, DAP menyalahkan kerajaan dan apabila kita mahu peniaga menurunkan harga barang apabila harga minyak turun, DAP tetap juga menyalahkan kerajaan. DAP seolah-olah marahkan kita apabila kita minta peniaga menurunkan harga jualan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas program jualan turun harga pasar tani di Pasar Tani Taman Melawati, Hulu Klang di sini, semalam.

Menurut Ismail Sabri, beliau juga berharap tiada pihak lagi yang mengungkit dakwaan rasis terhadap kenyataan beliau sebaliknya perlu bergerak ke depan bagi membantu pengguna.

“Saya hanya membicarakan soal kepentingan serta faedah kepada pengguna namun lain yang dibangkitkan. Saya harap ia tidak diungkit lagi dan marilah kita bergerak ke depan untuk meneruskan agenda membantu pengguna.

“Seperti kenyataan rakan sejawat yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dakwaan rasis itu tidak perlu diungkit kerana apa yang penting, nasib pengguna diperjuangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan di kementerian, pihaknya ada prosedur berkaitan pengagihan kuota beras.

“Di kementerian, kita ada prosedur yang perlu dipatuhi. Setiap keputusan berkaitan kuota beras dan sebagainya, diputuskan oleh jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:16 AM