Kuala Lumpur: Bermula semalam, 570 pasar tani di seluruh negara menurunkan harga barangan dijual antara lima hingga 20 peratus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penurunan harga itu membabitkan 73 jenis barangan pertanian, basah serta kering.

“Penurunan harga barangan ini adalah untuk faedah pengguna manakala peniaga pasar tani pula, walaupun margin keuntungan diperoleh mungkin mengecil, namun pasti semakin ramai yang datang untuk mendapatkan barangan keperluan harian daripada mereka.

“Pada masa sama, ia juga membuktikan harga barangan boleh diturunkan. Kerana itu saya datang ke pasar tani ini untuk mengumumkan penurunan harga jualan barangan,” katanya pada sidang media selepas program jualan turun harga pasar tani di Pasar Tani Taman Melawati, Hulu Klang di sini, semalam.

Menurut Ismail Sabri, harga berkenaan akan kekal sampai bila-bila, malah mengalu-alukan jika ia boleh lagi diturunkan lagi pada masa depan.

Berkaitan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, pihak urus setia pasar tani akan memantau harga dijual peniaga, selain pengguna boleh menghubungi nombor hotline yang tertera pada setiap gerai peniaga.

“Selain penguatkuasaan, pengguna sendiri boleh menghubungi kami melalui nombor hotline tertera bagi membuat aduan jika harga dinyatakan tidak mengikut peraturan digariskan.

“Jika harga dijual lebih tinggi, peniaga terbabit akan dikeluarkan daripada pasar tani berkaitan serta- merta,” katanya.

Berkaitan perbezaan harga jualan di kalangan peniaga di pasar tani, Ismail Sabri berkata, ada peniaga yang memperoleh bekalan terus daripada pengeluar dan ada yang mendapatkannya daripada orang tengah seperti di pasar borong tertentu.

“Di Pasar Tani Taman Melawati, sebahagian peniaga mendapatkan barangan daripada pengeluar dan selebihnya daripada pasar borong.

“Kami memberi tempoh kepada peniaga yang mendapatkan bekalan daripada pasar borong sehingga Jun ini sebelum berhenti melakukannya. Selepas itu, mereka perlu mendapatkan barangan daripada pengeluar secara terus.

“Objektif diwujudkan pasar tani ialah bagi membantu pengeluar memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pengguna dan objektif ini tidak akan tercapai jika peniaga memperoleh bekalan daripada orang tengah atau pasar borong,” katanya.

Berkaitan penurunan harga barang, Ismail Sabri memaklumkan bahawa sehingga kini, banyak perubahan berlaku membabitkan pasar raya serta kedai mula menurunkan harga jualan.

“Peniaga kini mula lebih mengambil perhatian terhadap kehendak pengguna malah orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mula sedar berkaitan kuasa pengguna.

“Ia perkembangan sihat kerana pengguna adalah suara majoriti. Saya juga akan terus memperjuangkan nasib pengguna kerana sebagai golongan majoriti, pengguna perlu mendapat yang terbaik daripada pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:15 AM