Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Sekumpulan pemborong beras menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci berhubung penyelewengan yang didakwa wujud terhadap pengagihan kuota beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15).

Wakil kumpulan terbabit, Datuk Noridan Spee Yee berkata, pihaknya mendakwa ketirisan itu berlaku dalam pengagihan kuota beras ST15 dalam kalangan pengampit dan pemborong.

Menurutnya, ada pemborong dan pengedar beras yang tidak mematuhi garis panduan ditetapkan masih berpeluang memperoleh kuota berkenaan.

“Akibat ketirisan yang berlaku, pemborong dan pengedar beras ST15 mengalami kerugian besar, malah saya turut mengalami perkara sama apabila kerugian sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sebulan.

“Justeru, kami daripada pihak pemborong beras meminta SPRM mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini dan melakukan siasatan mereka yang terbabit,” katanya pada sidang media mengenai kuota pengagihan beras ST15 di sini, semalam.

Tahun lalu, Harian Metro melakukan pendedahan eksklusif secara bersiri berhubung isu ketirisan subsidi beras ST15.

Noridan berkata, gesaan yang dibuat pihaknya terhadap SPRM adalah berikutan pendedahan dibuat Harian Metro sebelum ini.

Katanya, beliau juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi meminta kerajaan menyiasat kes salah laku itu dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:42 AM