Kenderaan mangsa terhumban ke gaung sedalam 19 meter di Jalan Marudi.

Marudi: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki terbabas lalu terjatuh ke lereng bukit dalam jarak 19 meter berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 19 Jalan Marudi-Miri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, pasangan suami isteri termasuk anak mereka berusia dua tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Land Cruiser itu terselamat dan cedera ringan.

Sumber berkata, kereta dipandu Pius Bilong Apoi, 45, hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian selepas hampir sejam perjalanan dari Marudi ke Miri jam 8.30 pagi.

Menurutnya, isteri mangsa Hilda Sulau Tuchin, 41, dan anak Odhylia Pius dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Mangsa dikatakan berjaya keluar dari kenderaan sebelum dibantu orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

“Sebelum itu, mangsa dalam perjalanan ke Miri selepas bercuti di kampung halaman, di sini, sejak minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi Zolbadar Alior berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.45 pagi.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun pemeriksaan awal tidak menolak kemungkinan kereta dipandu laju menyebabkan kenderaan dinaiki hilang kawalan.

“Walaupun terjatuh ke lereng bukit sejauh 19 meter, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:03 AM