Jakarta: Tujuh lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui di dasar Selat Karimata, Kalimantan Tengah, awal pagi semalam.

Penyelam Indonesian Divers (I-Divers), Rendra Hertiadhi berkata, sehingga 12 tengah hari semalam, empat mayat ditemui berdekatan fiuslaj pesawat itu sudah di angkat ke KN Pacitan, manakala bakinya masih diuruskan anggota penyelamat.

“Semalam (kelmarin), satu mayat turut ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi sama dan diangkat ke KN Pacitan.

“Setakat ini, keadaan badan pesawat di dasar laut sudah hancur. Ia sekali gus menyukarkan kerja penyelam untuk mengangkat mayat ke permukaan.

“Malah, ada satu mayat yang sukar dipindahkan kerana terbelit pada kabel pesawat,” katanya.

Berbeza dengan hari sebelumnya, Rendra mengesahkan cuaca semalam lebih baik walaupun mendung.

“Laut cukup tenang dengan ketinggian ombak sekitar satu meter. Arus bawah permukaan laut pula mencatatkan kelajuan sehingga 1.2 knot,” katanya.

Operasi mencari baki mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diteruskan lagi semalam selepas Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) memberi cuti rehat kepada pasukan SAR di Laut Jawa.

“Ketika ini BASARNAS masih mengerah KN Pacitan dan KN Purworejo ke lokasi penemuan fiuslaj pesawat untuk mencari baki mangsa yang masih hilang.

“Kedua-dua kapal dilengkapi kumpulan penyelam khas BASARNAS, I-Divers serta penyelam khusus Limbungan Citra Batam (AHA),” katanya.
- Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 7:33 AM