Petaling Jaya: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pecah mulut dan berdarah hidung selepas ‘ditinju’ bapa tirinya kerana mengaku kehilangan kotak alat tulis.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa dipukul suspek berusia 37 tahun di rumahnya di Damansara Damai, di sini.

Sumber berkata, kejadian berlaku selepas mangsa meminta suspek membelikannya kotak alat tulis baru.

“Suspek yang tidak berpuas hati dengan alasan diberikan mangsa bertindak memarahi kanak-kanak itu sebelum melepaskan geramnya dengan menumbuk mangsa.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami pendarahan di hidung selain bibirnya pecah. Difahamkan suspek baru menikahi ibu mangsa,” katanya.

Suspek dipercayai bekerja sebagai pemandu teksi di ibu negara dan berada di rumah bersama mangsa ketika kejadian.

“Ibu mangsa yang pulang dari kerja terkejut apabila melihat hidung dan mulut anaknya berdarah segera membawa mangsa ke klinik,” katanya.

Jurucakap polis Petaling Jaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:41 AM