Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memberi manfaat kepada pengilang kerana ia mengurangkan kos perniagaan disebabkan pengilang boleh melakukan tuntutan ‘Claimable Input Tax’ bagi cukai yang sudah dibayar kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM).

Pengerusi Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Ab Rahim Abu Bakar berkata, cukai itu juga akan memaksa pengilang membuat penyimpanan data/maklumat yang lebih tersusun dan rapi sama ada dalam bentuk ‘software’ iaitu memakai program perakaunan untuk menyimpan data dan penyusunan fail berkaitan GST.

“Pelaksanaan struktur cukai baru ini memudahkan urusan pentadbiran dan pembayaran cukai antara pihak syarikat dan KDRM dengan maklumat terkini dan tersusun,” katanya.

Pelaksanaan GST ke atas pengilang dan industri berjalan lancar dengan jumlah pendaftaran 300,730 syarikat sehingga kini.

Abdul Rahim berkata, pengguna akan menikmati banyak manfaat daripada pelaksanaan cukai itu terutama bagi barangan keperluan asas seperti beras, daging, tepung dan lain-lain yang dikecualikan cukai selain perkhidmatan seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan perumahan.

Menurutnya, cukai itu membolehkan kerajaan memantau harga dikenakan kepada pengguna seperti barang dan perkhidmatan asas dikecualikan daripada GST termasuk makanan asas, pendidikan, khidmat perubatan, pengangkutan awam dan kediaman.

“Pembekal, pengilang, pemborong dan peruncit boleh menuntut cukai GST pada cukai masuk atau dipanggil ‘Claimable Input Tax’ yang akan mengurangkan kos perniagaan sekali gus membolehkan harga lebih rendah dikenakan kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:34 AM