PENGUAT kuasa Kesihatan dari PKDG Gombak menunjukkan jentik-jentik ditemui ketika pemeriksaan.

Gombak: Sebanyak 654 premis kediaman di Kampung Simpang Tiga, di sini, diperiksa dalam operasi bersepadu ‘Ops Hapus Denggi’ yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak (PKDG) semalam.

Operasi membabitkan 150 orang anggota daripada kedua-dua agensi itu berlangsung selama empat jam setengah bermula pada jam 8.30 pagi dan memfokuskan pada beberapa kawasan dalam kampung yang dianggap ‘hotspot’ (lokasi panas) bagi pembiakan nyamuk aedes.

Pengarah Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, berkata operasi itu adalah yang kedua dilakukan selepas mereka menggempur kawasan Sungai Terentang, Rawang dan lokasi itu dipilih kerana Kampung Simpang Tiga adalah lokasi panas dalam daerah Gombak kerana mempunyai kes demam denggi agak tinggi pada tiga bulan kebelakangan ini.

“Dalam negeri Selangor, daerah Gombak adalah kawasan keempat tertinggi mempunyai kes demam denggi dan sepanjang pemantauan pihak kami dari 119 hari lalu, kawasan Kampung Simpang Tiga adalah kawasan yang banyak mempunyai kes demam denggi iaitu sebanyak 47 kes,” katanya.

Operasi itu turut dibantu pihak polis dan sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan kerana meletakkan timbunan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk serta menghendaki penghapusan segera timbunan itu.

“Selain itu, terdapat 13 notis kompaun turut dikeluarkan kerana pemilik premis mempunyai bekas seperti pasu bunga atau botol yang positif menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya lagi.

Mohamad Zin menambah, operasi yang dilakukan lebih menjurus kepada usaha untuk menanamkan kesedaran terhadap bahaya nyamuk aedes.

“Operasi ini sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Ketua Kampung melalui edaran risalah kempen kesedaran bahaya nyamuk aedes dan langkah itu juga bertujuan untuk penduduk kampung melakukan pembersihan pada kawasan rumah mereka yang disyaki mempunyai potensi sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes,”.

Meskipun operasi itu berjaya menyedarkan orang kampung tentang bahayanya nyamuk aedes dan demam denggi, beberapa bahagian lain terutama kawasan komersial di kampung itu seperti restoran, kedai runcit dan juga kedai tayar masih tidak mempedulikan kepentingan menjaga kebersihan apabila membiarkan longkang di hadapan kedai dan juga tayar terbuang ditakungi air dan juga sampah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:21 AM