Muhammad Azlee (kanan) menunjukkan pakaian seragam yang dirampas pada sidang media di IPD Brickfields.
Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: ‘Senang memikat hati wanita’. Itulah antara pengakuan seorang lelaki yang ditahan selepas didapati menyamar sebagai pegawai polis kanan berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Suspek berusia 31 tahun itu yang ditahan jam 5 pagi 20 Januari lalu, dikesan turut memiliki baju seragam polis lengkap dengan aksesori dan pangkat ASP.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, suspek ditahan ketika memasuki bangunan bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini.

Menurutnya, suspek mulanya mengaku sebagai pegawai kanan di Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman ketika disoal anggota polis yang menemuinya dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek gagal menunjukkan kad kuasa polis ketika diminta untuk tujuan pemeriksaan lanjut ke atasnya.

“Ketika diminta menunjukkan kad kuasa polis, suspek hanya mengeluarkan lesen memandu polis jenis lama yang dipercayai turut dipalsukan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kereta model Perodua Myvi milik suspek menemui baju seragam pegawai polis.

“Polis turut menemui jaket berwarna biru dan sepasang baju hujan tertera lambang dan tulisan polis.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat tiga laporan polis dibuat mangsa yang pernah diperdaya suspek sebelum ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Dia berkata, suspek yang bekerja sebagai penjual minyak wangi mengaku meminati pekerjaan sebagai pegawai polis untuk menawan hati wanita.

Sementara itu dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan selepas didapati menyamun mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis.

Menurut Azlee, ketiga-tiga suspek ditahan anggota peronda polis jam 1.30 pagi, 25 Januari lalu di Lorong Maarof, Bangsar di sini.

“Suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta model
Chevrolet. Suspek tiba-tiba memecut untuk mengelakkan diperiksa anggota polis peronda sebelum ditahan sejurus selepas itu.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek mendapati terdapat tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun bersama seorang wanita warga asing dipercayai mangsa samun semua suspek,” katanya.

Dia berkata, pemeriksaan polis turut menemui dua gari, pisau, parang, cota besi dan lapan telefon bimbit serta lampu suluh renjata elektrik yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam selain tambahan Seksyen 395/397 kanun yang sama dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan dan Senjata Merbahaya bagi kes kedua.

Katanya, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:32 AM