DR Mohd Shukri (kiri) menyerahkan ijazah posthumous arwah Mohd Faiz Fakhruddin kepada bapanya, Hasnan.

Shah Alam: “Abang bangga dengan pencapaian adik-beradik, keluarga, tunang dan jika abang tiada, abang akan tenang,” itu antara kata-kata terakhir yang diluahkan Allahyarham Mohd Faiz Fakhruddin Hasnan, 27, kepada adik dan tunangnya ketika mereka berbuka puasa malam sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

Arwah yang juga penuntut Management and Science University (MSU) dekat sini meninggal dunia dalam satu kemalangan langgar lari di Kuala Selangor pada pagi 5 Julai tahun lalu ketika tempoh latihan industrinya di Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam akan tamat kira-kira sebulan lagi.

Adik arwah yang juga penuntut MSU, Norhaziqah, 23, berkata, perwatakan arwah yang ceria dan suka membuat lawak menyebabkannya menganggap kenyataan abangnya itu hanyalah gurauan semata-mata.

“Abang selalu bergurau dan saya anggap kenyataannya itu gurauan namun tidak menyangka keesokan hari abang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Norhaziqah ditemui pada majlis khas penganugerahan ijazah posthumous sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 MSU.

Turut hadir Presiden MSU Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, ibu bapa arwah Hasnah Ahmad, 53, dan Hasnan Abu Bakar, 55, adik-beradik arwah dan tunangnya Puteri Siti Fatinnur Megat Mustaffa Kamal, 26.

Sementara itu, Dr Mohd Shukri berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi penghormatan khas kepada Allahyarham yang juga graduan Sarjana Muda Bioinformatik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:28 AM