RITA (kiri) hadir ke mahkamah bersama peguam.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Pelakon Rita Rudaini, 39, menyatakan bekas suaminya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 28, tidak konsisten memasukkan wang antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan sepanjang tempoh 2012 iaitu selepas pemain bola sepak itu meninggalkan rumah Januari tahun sama.

Dia turut memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini jumlah diberikan Mohamad Aidil tidak tetap dan ada ketika didapati tidak memasukkan wang terbabit untuk beberapa bulan tertentu.

Bagaimanapun Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar mengakui bekas suaminya itu memasukkan wang ke akaun banknya secara konsisten RM2,000 sebulan sejak Januari hingga Disember 2013.

Katanya, wang diberikan itu bukan untuk dirinya berikutan Mohamad Aidil Zafuan memberitahu wang itu untuk nafkah anak mereka.

“Ketika berjumpa atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) saya beritahunya (bekas suami) wang diberikan tidak mencukupi untuk saya dan dua anak,” katanya ketika menjawab soalan balas peguam syarie Mohamad Aidil, Rushdan Sujak Rafie di depan Hakim Mawardi Che Wan semalam.

Rita berkata demikian ketika perbicaraan tuntutan nafkah tertunggak RM102,000 untuk tempoh 20 bulan dari tarikh defendan meninggalkannya pada Januari 2012 hingga dia diceraikan pada Ogos 2013.

Sementara itu, mengenai tuntutan pakaian RM500 sebulan, Rita berkata, sebagai pelakon dia memerlukan pakaian, alat solek serta barangan wanita lain sebagai keperluan.

Katanya, dalam pekerjaan itu dia memerlukan pakaian baru, namun aktres itu mengakui dia gagal mengemukakan resit bagi tuntutan.

Prosiding ditangguhkan dan hakim menetapkan perbicaraan disambung pada 14 April ini.

Pelakon itu diwakili peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.

Rita dan Mohamad Aidil Zafuan bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, September 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:23 AM