Oleh Ainul Fatihah Mansor
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerja pembersihan sampah akibat banjir di negeri pantai timur dijangka selesai hujung Februari ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, secara purata sebanyak 2,000 tan sampah dikutip setiap hari oleh Solid Waste Corporation (SWCorp) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Ketika ini kerja pembersihan masih berterusan di negeri terjejas banjir. Kita menjangkakan kerja pembersihan dan kutipan sampah di negeri berkenaan terutama di Kelantan selesai pada penghujung Februari nanti.

“Pada masa sama, semua agensi termasuk JPSPN sentiasa turun padang untuk membantu termasuk memastikan fasiliti pelupusan sampah dapat diaktifkan segera berikut banyak yang tertimbus akibat banjir terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Kepada SWCorp di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ab Rahim Md Noor.

Pada majlis sama, Abdul Rahman turut merasmikan Program 3R Marathon Antarabangsa dan Karnival; Jelajah Mata Hati, SWCorp dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah Peringkat Kebangsaan (PERKISS) 2015.

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan tinggi nilai (upcycle) adalah alternatif terbaik untuk memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan produk bermutu tinggi.

Menurutnya, sebagai contoh kotak minuman boleh diproses untuk dijadikan bumbung bangunan yang mempunyai ciri tahan lama, serap bunyi dan selamat.

“Sehubungan itu, usaha untuk melahirkan produk kitar semula berkualiti rendah nilai (downcycle) seperti penghasilan kertas terpakai yang diproses menjadi kertas tisu perlu dipelbagaikan dan lebih diinovasikan supaya dapat dimanfaatkan sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“Oleh itu, saya menyeru supaya usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan terus diperhebatkan dengan usaha meningkatkan kolaborasi strategik dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri penyelidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:07 AM