ANGGOTA polis melakukan siasatan di kedai emas yang dirompak.
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Hanya lima minit diperlukan sekumpulan enam perompak berparang untuk mengaut emas diletakkan di atas 18 dulang sebelum melarikan diri dengan motosikal.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi kelmarin, tiga suspek melarikan sejumlah barang kemas bernilai RM300,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Tun Abdul Aziz di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, rompakan berlaku ketika empat pekerja kedai emas itu sedang sibuk menyusun emas di dalam cermin pameran.

Menurutnya, tiga lelaki masuk ke dalam premis sebelum melakukan rompakan bersenjatakan parang.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian rompakan itu daripada sebuah syarikat keselamatan sejurus selepas suspek melarikan diri.

“Penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek memasuki kedai emas berkenaan ketika semua pekerja sedang sibuk,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh muka terus meluru ke ruang pameran dan mengaut 18 dulang emas sebelum diisi di dalam karung berwarna merah.

“Ketika kejadian, tiga lagi suspek menunggu di luar premis dengan menaiki tiga motosikal sebelum semua mereka melarikan diri.

“Bagaimanapun semua pekerja tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:47 AM