Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Empat sekeluarga melalui detik cemas apabila empat penjenayah warga Indonesia bersenjatakan parang memecah masuk banglo mereka di Taman Seri Putra, Bangi, di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun bersama isteri serta dua anaknya sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing sebelum bilik utama pasangan itu dibuka penjenayah.

Mangsa yang terkejut dengan kehadiran empat penjenayah terbabit hanya mampu berdiam diri sebelum tangan mereka diikat menggunakan wayar telefon.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, siasatan awal, empat suspek terbabit masuk ke banglo mangsa dengan mengumpil pintu belakang.

“Suspek turut memakai sarung tangan dan topeng serta melarikan beberapa barangan termasuk empat jam tangan mewah, dua telefon serta wang tunai keseluruhannya berjumlah RM42,000.

“Suspek menyasarkan kediaman tiga tingkat milik mangsa berikutan terletak 50 meter dari Lebuh raya Utara Selatan,”katanya.

Beliau berkata, semua mangsa bagaimanapun tidak dicederakan.

“Sebaik suspek beredar mangsa berjaya membuka ikatan sebelum menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu.

“Pihak kami kini sedang memburu suspek yang dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30-an. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pekerja kedai serbaneka kerugian RM2,000 apabila disamun tiga lelaki dalam kejadian di bandar Kajang, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, seorang suspek dikatakan memasuki premis mangsa dan berpura-pura cemas sambil memberitahu kereta yang dinaikinya terbabit dalam satu kemalangan menyebabkan beberapa rakannya tersepit serta memerlukan pertolongan.

Abdul Ghani berkata, ketika kejadian, hanya mangsa berusia 20 tahun dan seorang lagi rakannya berada dalam premis itu.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa, secara sukarela menawarkan bantuan dan terus mengikut lelaki itu ke ‘lokasi’ yang dinyatakan dengan menggunakan motosikal Honda EX5 milik rakannya.

“Sebaik melalui Jalan Mahkamah berhampiran Balai Polis Kajang, di sini, mangsa tiba-tiba dikepung tiga lelaki yang menunggang dua motosikal,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang mengacu sebilah pisau ke arah mangsa menyebabkannya tidak berani melakukan sebarang tindakan.

“Suspek kemudian merampas seutas rantai emas serta wang tunai milik mangsa sebelum melarikan diri.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM2,000,”katanya.

Menurut Abdul Ghani, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 9:50 AM