CHIK Omar (kiri) menunjukkan methamphetamine bernilai RM287,850 yang cuba diseludup masuk penumpang warga Fiji.

Nilai: Cubaan seorang wanita warga Fiji menyeludup dadah jenis methamphetamine ke Malaysia gagal apabila dia dicekup sepasukan anggota kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, dalam kejadian jam 5.45 petang itu, wanita berusia 26 tahun terbabit menyembunyikan dadah seberat 1.515 kilogram dalam bagasi pakaian miliknya.

Katanya, dadah bernilai RM287,850 itu dimasukkan dalam beg galas hitam sebelum diselitkan dalam ruangan khas bagasi berkenaan.

“Setibanya wanita itu dari Hong Kong, imbasan bagasi menampakkan ada serbuk kristal disyaki methamphetamine.

“Pemeriksaan mendapati dadah seberat 1.515 kilogram disembunyikan dalam beg galas sebelum dimasukkan ke dalam bagasi bersama pakaian milik suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-33 di Auditorium Ahmad Noordin, Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:42 AM